Sejarah Sekolah
SEJARAH PEMBUKAAN SMK DPHA GAPOR KUCHING
Pintu pagar masuk ke sekolah yang lama
Datu Patinggi Abdul Ghapur merupakan seorang pewira silam di Negeri Sarawak. Beliau pernah dilantik menjadi gabenor (pembesar) Kuching sebelum kedatangan keluarga Brooke ke Sarawak. Dari segi keturunan, Datu’ Patinggi Abdul Ghapur berbangsa Melayu dan memiliki pertalian darah dengan Tun Abang Haji Openg. Beliau adalah moyang kepada Tun Abang Haji Openg. Untuk mengenang jasa Datu Patinggi Abdul Ghapur kepada negeriSarawak, maka sebuah sekolah telah dibina dan diletakkan sempena nama beliau pada bulan April tahun1974.
Pada tahun 1854, Datu Patinggi Abdul Ghapur iaitu, yang menjadi pembesar Melayu di Kuching telah dilucutkan pangkat dan jawatan oleh James Brooke kerana beliau telah mengenakan cukai yang sangat tinggi terhadap orang-orang di bawahnya. Datu Patinggi Abdul Ghapur marah kerana kehilangan keistimewaan yang dinikmati satu masa dahulu dan membuat aduan terhadap pampasan yang tidak mencukupi yang dibayar kepadanya. Walau bagaimana pun, James Brooke telah menghapuskan gelaran Patingginya dan menghantar beliau ke Mekkah untuk menunaikan fardhu haji. Selepas itu, beliau telah dibuang negeri ke Melaka. Oleh sebab berasa malu, Datu Patinggi Abdul Ghapur pun bersekutu dengan Syarif Masahor dan mereka telah mengadakan pakatan sulit untuk menghapuskan James Brooke dari Sarawak.
Masa nampaknya cukup sesuai bagi mereka untuk memberontak terhadap Brooke kerana kebangkitan orang Cina telah menampakkan kelemahan Brooke. James Brooke telah berlepas ke England pada akhir 1857 dan meninggalkan anak saudaranya Charles Brooke untuk mentadbir Sarawak. Keadaan ini amat sesuai bagi rancangan Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Ghapur. Pada tahun Jun 1859, Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Ghapur menyerang kubu Brooke di Kanowit. Dalam pertempuran itu, orang Melanau di Konawit yang diketuai oleh Sawing dan Sakalai telah membunuh Charles Folx dan Hendry Steele di kota Kanowit. Beberapa orang Iban yang tinggal di sungai Pol dan Ngemah iaitu cawangan sungai Bukit Rejang turut campur tangan dalam serangan ini.
Pembunuhan Charles Fox dan Henry Steele di Kanowit ini telah mengejutkan orang British di Kuching yang baru sahaja menangani pemberontakan orang Cina di Bau. Pada bulan julai 1859, Charles Brooke dengan satu angkatan perang telah pergi ke sungai Bukit Kanowit dan membunuh askar-askar Melayu dalam kota itu dan membenarkan tenteranya menguruskan mengikut sesuka hati mereka. mana-mana orang Dayak yang telah membantu pembunuh-pembunuh tersebut. Selain itu, beliau juga menjatuhkan hukuman bunuh terhadap 10 orang yang dipercayai bersubahat dengan pembunuhan Fox dan Steele. Charles Brooke kemudiannya membaiki kota itu dan kembali ke Kuching untuk membuang negeri Abdul Gapur ke Pontianak.
Pada awal tahun 1860, Syarif Masahor telah mengarah Pangeran Temenggung Hayim Jalil dari Brunai yang mendiami daerah Sadung pergi ke Pontianak berjumpa dengan Datu Patinggi Abdul Ghapur yang telah dipecat dahulu dan membawa bersama-sama bagi menyerang Kuching. Selepas mengetahui rancangan Syarif Masahor menyerang Kuching, pada awal bulan Februari tahun 1860 Charles Brooke telah melancarkan serangan awal terhadap pasukan syarif Masahor di pertengahan sungai Sarawak. Dalam pertempuran itu Charles Brooke telah memusnahkan kapal-kapal Syarif Masahor dan Syarif Masahor telah melarikan diri ke Brunai. James Brooke kemudian memaksa sultan Brunai membuang syarif Masahor ke Singapura pada 1861 di mana beliau telah meninggal dunia pada tahun 1890. Sebelum sempat Datu Patinggi Abdul Gapur menyerang kuching dari Pontianak, orang Belanda terlebih dahulu menahan beliau dan memenjarakannya di Betawi, Jawa. Charles Brooke telah meminta bantuan pihak Belanda untuk menahan Datu Patinggi Abdul Ghapur dan melarang beliau daripada kembali ke Sarawak. Sehubungan itu tamatlah penentangan orang Melayu terhadap keluarga Brooke di Sarawak.
Sekolah Menengah Kerajaan Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, Stampin di Jalan Stampin ditubuhkan oleh Jabatan Pelajaran Sarawak dan dinamakan sebagai Sekolah Menengah Kerajaan Bahasa Malaysia, Kuching pada tahun 1974. SMK DPHA Gapor terletak kira-kira 3 km dari Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, 4 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan 8 km dari Bandaraya Kuching. Ia bertapak di sekitar tanah yang beralun dan tanah rendah seluas 12.15 hektar.
Pada peringkat awal, S.M.K. D.P.H.A. Gapor menumpang di SRK Lumba Kuda di Jalan William Tan pada 1hb Januari 1974 sehingga bulan Julai tahun 1975. Pengetua sekolah yang pertama ialah Haji Abdul Rahman bin Sahari (1974 – 1976). Pada masa itu, sekolah ini mempunyai 4 buah kelas iaitu satu Kelas Peralihan, dua kelas Tingkatan Satu, dan dua Kelas Tingkatan Dua. Pada tahun 1974, hanya terdapat 182 orang pelajar dan sebahagiannya adalah pelajar asrama. Jumlah guru pula seramai empat orang sahaja.
Pada mulanya, sekolah ini mempunyai dua cogan kata iaitu satu, terletak pada lencana sekolah (BM) yang bermaksud "BERJAYA MAJU" atau Bahasa Malaysia dan yang satu lagi secara rasmi ialah "KE ARAH KECERMELANGAN". Walau bagaimana pun, Cikgu Bedui bin Une, pengetua ke-10 sekolah ini telah membuat sedikit pindaan terhadap moto sekolah iaitu mudah, logik dan praktikal. Tema lagu sekolah pula ialah "USAHA DAN YAKIN" yang dicipta oleh En. Zainuddin Hj. Suut.
Pada tahun 1974, bilangan kelas bertambah sebanyak 4 buah lagi. 2 kelas peralihan,3 kelas
Tingkatan Dua dan 1 kelas Tingkatan Tiga. Bulan April 1974 merupakan sejarah sekolah ini kerana ia telah dipindahkan dari S.R.K. Lumba Kuda ke premis baru di Jalan Tun Jugah, Stampn. Dengan itu SMK DPHA Gapor juga dikenali sebagai SMK Stampin. Sekolah ini juga merupakan sekolah pertama di Negeri Sarawak yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Pada tahun 1975, terdapat satu kelas Tingkatan Satu dan sembilan kelas peralihan. Pada tahun 1976, kelas Tingkatan Dua hanya terdapat satu buah dan tujuh kelas Tingkatan Satu. Selain itu, terdapat 10 kelas peralihan. Pada tahun 1977, bilangan kelas menjadi 26 buah kelas. Terdapat lapan kelas peralihan, 10 kelas tingkatan satu, tujuh kelas tingkatan dua dan satu kelas tingkatan tiga. Dalam tahun 1976, kemasukan pertama pelajar integrasi dari Semenanjung Malaysia seramai 20 orang dan enam dari sabah. Program integrasi pelajar ini dianjurkan oleh Yayasan Sarawak. Kesemua mereka ialah pelajar lelaki.
Pada 18 Julai 1987, sekolah ini telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan pada masa itu iaitu Yang Berhormat Mulia Tan sri Tengku Razaleigh Hamzah. Tahun 1986 merupakan tahun yang paling mencabar dalam sejarah perkembangan sekolah ini kerana pada tahun ini, buat julung kalinya sekolah ini telah menerima kemasukan pelajar-pelajar Tingkatan 6 Rendah Sastera ( 3 kelas ) dan pelajar-pelajar cacat pendengaran Tingkatan 3 ( kelas khas ). Justeru itu, pada tahun 1987, sekolah ini mengeluarkan calon-calon STPMnya dan SRP ( cacat pendengaran ) yang pertama. Pada masa itu, Pengetua Sekolah ini ialah Pn. Fatimah Matair.
Kelas Tingkatan 3 khas ialah kelas yang telah dipindahakan dari S.M.K. Batu Lintang bersama dengan cikgunya sekali, iaitu Cik Elizabeth dan En. Adam. Dua sebab mengapa kelas ini berpindah ke S.M.K. Stampin ialah:-
(i) S.M.K. Stampin merupakan sekolah berasrama. Kebanyakan pelajar asrama pada masa itu datang dari daerah Bau, Lundu, Serian, Tebakang, Santubong dan Bako.
(ii) S.M.K. Batu Lintang telah menubuhkan kelas khas untuk pelajar buta ( Pusat Berdekatan ) dan ia tidak dapat mengendalikan 2 kelas khas sekali gus.
Pelajar-pelajar khas ini datang dari seluruh pelusuk Negeri Sarawak. Kelas khas ini semakin bertambah kepada 5 buah pada tahun 1996. Pelajar-pelajar khas yang telah menduduki peperiksaan SRP/PMR, mereka melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, Selangor.
Selepas satu dekad lebih ( 1986-1999 ), jumlah bilik kelas semakin bertambah daripada 43 buah kelas kepada 58 buah kelas. Ini menunjukkan betapa pantasnya perkembangan sekolah ini sehingga mempunyai 2 sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang.
No comments:
Post a Comment